Wallpaper

Rabu, 24 Ogos 2011

Monolog Diri Ini



Muhasabah Perjuangan

Engkau ingin berjuang ,
Tapi tidak mampu menerima ujian

Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak begitu setia kawan

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup berkorban

Engkau ingin berjuang,
Tapi hanya ingin jadi pemimpin

Engkau ingin berjuang,
Menjadi pengikut agak segan

Engkau ingin berjuang,
Tolak ansur engkau tidak amalkan

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup menerima cabaran

Engkau ingin berjuang,
Kesihatan dan kerehatan,
Tidak sanggup engkau korbankan

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian

Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan,

Engkau ingin berjuang,
Masa tidak sanggup engkau luangkan

Engkau ingin berjuang,
Karenah isteri tidak kau tahan

Engkau ingin berjuang,
Rumahtangga lintang-pukang

Engkau ingin berjuang,
Diri engkau tidak engkau tingkatkan

Engkau ingin berjuang,
Disiplin diri engkau abaikan

Engkau ingin berjuang,
Janji kurang engkau tunaikan

Engkau ingin berjuang,
Kasih sayang engkau cuaikan

Engkau ingin berjuang,
Tetamu engkau abaikan

Engkau ingin berjuang,
Anak isteri engkau lupakan

Engkau ingin berjuang,
Ilmu berjuang engkau tinggalkan

Engkau ingin berjuang,
Kekasaran dan kekerasan engkau amalkan

Engkau ingin berjuang,
Pandangan engkau tidak diselaraskan

Engkau ingin berjuang,
Rasa bertuhan engkau abaikan

Engkau ingin berjuang,
Iman dan taqwa engkau lupakan

Ya sebenarnya apa yang Engkau hendak perjuangkan...

Sumber : Web Ketua DPPP- Ustaz Nasrudin bin Hassan at-Tantawi


Ahad, 21 Ogos 2011

10 Malam Terakhir Ramadhan ; Apa Nak Buat ?




Khatamkan Al-Quran

Dah habis khatamkah? Sekurang-kurangnya sekali dalam bulan ramadhan tahun ini? Kalau belum nampaknya kenalah sibukkan diri 10 malam berbaki untuk mengkhatamkannya. Rugi benar siapa-siapa yang berada dalam bulan ramadhan tetapi tidak dapat mengkhatamkan Al-Kitab sekurang-kurangnya sekali. Sebabnya menjadi kerugian adalah Ramadhan itu di gelar bulan Al-Quran ; padanya diturunkan Al-Quran.
Firman Allah…

Maksudnya:
            (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”
(Al-Baqorah : 185)
           

Memperbanyak Tadarus Al-Quran

Dan kepada sesiapa yang selesai khatam, teruskan membacanya dan seelok-eloknya banyakkanlah tadarus al-quran dalam bulan ramadhan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud :
            Dari Ibnu Abbas berkata: “adalah Rasulullah orang yang sangat dermawan dan lebih besar kedermawannya bila berada pada bulan Ramadhan, kerana Jibril biasa menemui baginda pada setiap malam Ramadhan sampai habis bulan. Rasulullah menghadirkan Al-Quran kepadanyadan ketika Jibril menemuinya, baginda sangat besar kedermawannya sehingga melebihi angin yang bertiup.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Maksud hadis ialah, pada setiap malam Ramdhan Jibril berkunjung kepada Rasulullah. Pada saat itu Rasulullah mendatangkan Al-quran untuk dibaca di hadapan Jibril.


Teruskan Mengerjakan Solat Sunat Tarawih
(Bahkan Digalakkan Memperbanyak Dan Mempereloknya)

            Lazimnya masyarakat pada awal Ramadhan, berada di awal saf untuk solat sunat Tarawih. Apabila tiba dipertengahan Ramadhan, mereka berada di di tengah saf. Apabila sampai di penghujung Ramadhan, maka mereka berada di penghujung saf dan di penghujung masjid.

            Sedangkan, ibadah yang paling besar pahalanya selain pahala puasa dalam bulan Ramadhan adalah menghayati malamnya dengan solat sunat Tarawih. Menurut huraian sebuah hadis Rasulullah, antara fadhilat dan faedahnya ialah diampuni dosa-dosa dirinya dan kedua ibu bapanya, diberikan pahala seumpama pahala tawaf para malaikat di Baitul Makmur, bersih dari dosa seperti baru lahir, dibina mahligai di syurga, dinaikkan kedudukan seribu darjat di akhirat dan berbagai lagi.


Beriktikaf

Dari Aisyah berkata: “Adalah Rasulullah shollallah `alaihi wasallam beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan sampai Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda beriktikaf sesudah itu.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

            Yang dimaksudkan dengan beriktikaf ialah tinggal menyendiri di dalam masjid untuk melakukan ibadah selama sepuluh hari akhir di bulan Ramadhan tanpa keluar, kecuali kerana keperluan yang mendesak.


Memperbanyak Istighfar

            Rasulullah bersabda yang ertinya: “Pada bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku.”

1.      Bila datang awal malam Ramadhan, Allah Azza Wa Jalla melihat mereka.
Barangsiapa dilihat oleh Allah maka selamanya dia tidak akan disentuh azab.

2.      Bau mulut mereka pada petang hari di sisi Allah lebih harum dari bau minyak kasturi.

3.      Para malaikat memohon keampunan bagi mereka setiap siang dan malam.

4.      Allah menyuruh syurganya dengan berfirman: “Bersiap-siaplah dan hiasilah dirimu untuk hamba-hambaKu. Kamu sekalian telah dekat saat beristirehat dari keletihan hidup di dunia dan kembali ke kampungKu dan rahmatKu.”

5.      Apabila telah tiba akhir malam Ramadhan, Allah mengampunkan dosa-dosa mereka semua.
(Hadis Riwayat Ahmad dan Baihaqi)


Memperbanyak Doa

Rasulullah bersabda doa adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah.
Doanya berbunyi:

اللهم إنك  عفو تحب العفو فاعف عني    

“Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni.”
(Ya allah! Engkaulah yang Maha Pemaaf dan Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah diriku.)

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia.
Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.”



Banyakkan Solat Sunat Di Sepertiga Malam

Hal ini kerana pada malam 10 yang terakhir ini dijanjikan satu malam yang penuh kemuliaan yang melebihi seribu bulan. Alangkah indahnya jika kita memperolehinya dalam keadaan kita ruku’ dan sujud pada Allah di kala itu.

Ibnu umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw. bersabda:
“Carilah ia (malam Qadr) pada 10 malam terakhir. Sekiranya seseorang daripada kamu merasa lemah atau letih, maka janganlah lagi dia ditewaskan pada tujuh malam terakhir.”

Hal yang dapat membantu kita untuk melakukan qiyamullail ialah:
  • Keikhlasan niat,
  • Memperkuat tekad,
  • Memperbaharui taubat,
  • Menghindari maksiat pada siang harinya,
  • Segera tidur,
  • Melakukan tidur siang hari, dan
  • Memohon bantuan dari Allah SWT.

Dari Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah bersabda: "Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)






Sabtu, 20 Ogos 2011

Muhasabah Hari Raya




Check-list Malam Raya

o   Mengeluarkan zakat.
o   Menilai dan menyemak seluruh amalan bulan Ramadhan.
o   Bersyukur jika dapat melaksanakan amalan dengan baik.
o   Memohon keampunan jika terdapat kekurangan.
o   Banyakkan bertakbir.
o   Berdoa agar Allah mempertemu dengan Ramadhan akan datang.


Check-list Pagi Raya

o   Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan Solat Sunat Aidil Fitri.
o   Menjamah sedikit makanan sebelum keluar  ke surau atau masjid.
o   Memperbanyak takbir.
o   Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain.
o   Memakai pakaian baru atau yang terbaik yang ada.
o   Menukar jalan ke tempat solat (pergi dan balik).
o   Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim.



Jumaat, 19 Ogos 2011

Ramadhan ; Nuzul Al-Quran


Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini.
Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M.
Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

PERINGKAT PENURUNAN WAHYU AL-QURAN

1.      Al-Quran berada di Luh Mahfuz.
Firman Allah…

Maksudnya
            “Bahkan (yang didustakan oleh mereka) ialah Al-Quran yang muliatersimpan dalam Luh Mahfuz”.
(Al-Buruj : 21-22)

2.      Al-Quran diturunkan ke Baitul Izzah yang terletak di langit dunia.
Proses penurunan dilakukan sekaligus dan serentak pada malam Lailatul Qadar di bulan Ramadhan.
Firman Allah…

Maksudnya
            “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada malam Lailatul Qadar”.
(Al-Qadar : 1)

3.      Al-quran diturunkan beransur-ansur dari Baitul Izzah kepada Rasulullah selama 23 tahun melalui perantaraan Malaikat Jibril.
Firman Allah…

Maksudnya
            “Ia dibawa turun oleh Ruhul amin (Jibril), ke dalam hati kamu (Muhammad) agar kamu salah seorang antara orang yang memberi peringatan, dengan bahasa Arab yang jelas”.
(Asy-Syu`ara’ : 193-195)