Wallpaper

Selasa, 2 Ogos 2011

Pesta Cahaya di Bulan Ramadhan

Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah, sekali lagi kita dikurniakan umur untuk menghirup udara yang segar di bulan yang penuh kemuliaan ini. Hari ini saya ingin berkongsi sedikit nota mengenai tazkirah yang saya terima dari ustaz sebentar tadi.

Sebelum itu sedarkah sahabat sekalian, malam di bulan yang mulia ini amat berbeza dengan malam-malam di sebelas bulan yang lain. Suka sekali saya melihatnya. Jalan-jalan dipenuhi dengan kenderaan-kenderaan. Hal ini demikian, kerana umat Islam sibuk menghadiri suatu pesta cahaya yang diadakan di pelusuk negara. Itulah yang dapat saya gambarkan, masjid-masjid yang diterangi lampu neon yang berwarna-warni, ahli-ahli jamaah yang hadir dengan pakaian yang bersinar-sinar semata-mata untuk memenuhi tuntutan Solat Sunat Tarawih di kawasan-kawasan atau qariah masing-masing ; umpama Pesta Cahaya di Bulan Ramadhan.



Namun begitu sedarkah kita, bahawa sebelum hadirnya Ramadhan, kita telah atau seolah-olah lupa tentang kewujudan masjid-masjid di sekitar kita.

Sebagai muhasabah, renungilah hadis ini

Dari Anas bin Malik radhiyallahu `anhu bahawasanya Rasulullahi shollallahu `alaihi wasallam bersabda : " Tidak berlaku (terjadi) hari qiamat sehingga umat ku bermegah-megah (dengan binaan) masjid" [HR Abu Daud]


Sedikit huraian..
Antara tanda hampirnya qiamat adalah apabila kita umat nabi Muhammad hanya bermegah-megah dengan binaan masjid yang kita sendiri bina. Perhatian kita hanya pada keindahan luaran masjid itu sahaja tidak terhadap pengisian di dalamnya seperti solat jamaah dan aktiviti ibadat, perpaduan dan lain-lain.

Sekarang dapat kita lihat, berapa banyak masjid yang besar, cantik lagi indah dibina tetapi berapa kerat pula manusia yang hadir untuk mengimarahkannya.

Maka sekali lagi saya menyeru kita agar merafa' kan setinggi-tinggi syukur kepada Allah kerana mendatangkan Ramadhan kerana dengannya kita dapat menyedari sesuatu, mempelajari sesuatu, menginsafi diri, menambah amal dan sebagainya. Maka ada benarnya mengapa wujud segelintir manusia yang menggelarnya sebagai Madrasah Ramadhan. Sama-samalah kita menghimpunkan amal, segerakan taubat. Ya Allah jauhkan kami dari azab api neraka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan