Wallpaper

Memaparkan catatan dengan label Nota Ramadhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nota Ramadhan. Papar semua catatan

Khamis, 16 Ogos 2012

Muhasabah Ramadhan 1433h





عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : كم من صائم ليس له من صيامه إلا الجُوعُ و العَطَشُ . [ رواية النسائي ]

Maksudnya
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu `anhu berkata : Rasulullah shollahu `alaihi wasallam bersabda : “ Ada banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat daripada puasanya itu apa-apa ganjaran melainkan hanya lapar dan dahaga ” .



و عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال النبي صلى الله عليه و سلم : من لمْ يَدَعْ قولَ الزّورِ و العملَ به فليس لله حاجةٌ في أنْ يدعَ طعامهُ و شرابهُ . [ رواه البخاري ]

Maksudnya
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu `anhu berkata : Rasulullah shollahu `alaihi wasallam bersabda : “ Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan tidak meninggalkan perbuatan dengan dasar dusta, maka Allah tidak akan memberikan apa-apa ganjaran ke atas keletihannya meninggalkan makan dan minum (maksudnya berpuasa)



:: ke arah KESEMPURNAAN ibadah PUASA ::


Ahad, 21 Ogos 2011

10 Malam Terakhir Ramadhan ; Apa Nak Buat ?




Khatamkan Al-Quran

Dah habis khatamkah? Sekurang-kurangnya sekali dalam bulan ramadhan tahun ini? Kalau belum nampaknya kenalah sibukkan diri 10 malam berbaki untuk mengkhatamkannya. Rugi benar siapa-siapa yang berada dalam bulan ramadhan tetapi tidak dapat mengkhatamkan Al-Kitab sekurang-kurangnya sekali. Sebabnya menjadi kerugian adalah Ramadhan itu di gelar bulan Al-Quran ; padanya diturunkan Al-Quran.
Firman Allah…

Maksudnya:
            (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”
(Al-Baqorah : 185)
           

Memperbanyak Tadarus Al-Quran

Dan kepada sesiapa yang selesai khatam, teruskan membacanya dan seelok-eloknya banyakkanlah tadarus al-quran dalam bulan ramadhan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud :
            Dari Ibnu Abbas berkata: “adalah Rasulullah orang yang sangat dermawan dan lebih besar kedermawannya bila berada pada bulan Ramadhan, kerana Jibril biasa menemui baginda pada setiap malam Ramadhan sampai habis bulan. Rasulullah menghadirkan Al-Quran kepadanyadan ketika Jibril menemuinya, baginda sangat besar kedermawannya sehingga melebihi angin yang bertiup.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Maksud hadis ialah, pada setiap malam Ramdhan Jibril berkunjung kepada Rasulullah. Pada saat itu Rasulullah mendatangkan Al-quran untuk dibaca di hadapan Jibril.


Teruskan Mengerjakan Solat Sunat Tarawih
(Bahkan Digalakkan Memperbanyak Dan Mempereloknya)

            Lazimnya masyarakat pada awal Ramadhan, berada di awal saf untuk solat sunat Tarawih. Apabila tiba dipertengahan Ramadhan, mereka berada di di tengah saf. Apabila sampai di penghujung Ramadhan, maka mereka berada di penghujung saf dan di penghujung masjid.

            Sedangkan, ibadah yang paling besar pahalanya selain pahala puasa dalam bulan Ramadhan adalah menghayati malamnya dengan solat sunat Tarawih. Menurut huraian sebuah hadis Rasulullah, antara fadhilat dan faedahnya ialah diampuni dosa-dosa dirinya dan kedua ibu bapanya, diberikan pahala seumpama pahala tawaf para malaikat di Baitul Makmur, bersih dari dosa seperti baru lahir, dibina mahligai di syurga, dinaikkan kedudukan seribu darjat di akhirat dan berbagai lagi.


Beriktikaf

Dari Aisyah berkata: “Adalah Rasulullah shollallah `alaihi wasallam beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dalam bulan Ramadhan sampai Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda beriktikaf sesudah itu.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

            Yang dimaksudkan dengan beriktikaf ialah tinggal menyendiri di dalam masjid untuk melakukan ibadah selama sepuluh hari akhir di bulan Ramadhan tanpa keluar, kecuali kerana keperluan yang mendesak.


Memperbanyak Istighfar

            Rasulullah bersabda yang ertinya: “Pada bulan Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang nabi pun sebelumku.”

1.      Bila datang awal malam Ramadhan, Allah Azza Wa Jalla melihat mereka.
Barangsiapa dilihat oleh Allah maka selamanya dia tidak akan disentuh azab.

2.      Bau mulut mereka pada petang hari di sisi Allah lebih harum dari bau minyak kasturi.

3.      Para malaikat memohon keampunan bagi mereka setiap siang dan malam.

4.      Allah menyuruh syurganya dengan berfirman: “Bersiap-siaplah dan hiasilah dirimu untuk hamba-hambaKu. Kamu sekalian telah dekat saat beristirehat dari keletihan hidup di dunia dan kembali ke kampungKu dan rahmatKu.”

5.      Apabila telah tiba akhir malam Ramadhan, Allah mengampunkan dosa-dosa mereka semua.
(Hadis Riwayat Ahmad dan Baihaqi)


Memperbanyak Doa

Rasulullah bersabda doa adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.

Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah.
Doanya berbunyi:

اللهم إنك  عفو تحب العفو فاعف عني    

“Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni.”
(Ya allah! Engkaulah yang Maha Pemaaf dan Engkau suka memaafkan, maka maafkanlah diriku.)

Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia.
Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.”



Banyakkan Solat Sunat Di Sepertiga Malam

Hal ini kerana pada malam 10 yang terakhir ini dijanjikan satu malam yang penuh kemuliaan yang melebihi seribu bulan. Alangkah indahnya jika kita memperolehinya dalam keadaan kita ruku’ dan sujud pada Allah di kala itu.

Ibnu umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw. bersabda:
“Carilah ia (malam Qadr) pada 10 malam terakhir. Sekiranya seseorang daripada kamu merasa lemah atau letih, maka janganlah lagi dia ditewaskan pada tujuh malam terakhir.”

Hal yang dapat membantu kita untuk melakukan qiyamullail ialah:
  • Keikhlasan niat,
  • Memperkuat tekad,
  • Memperbaharui taubat,
  • Menghindari maksiat pada siang harinya,
  • Segera tidur,
  • Melakukan tidur siang hari, dan
  • Memohon bantuan dari Allah SWT.

Dari Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah bersabda: "Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)






Jumaat, 19 Ogos 2011

Ramadhan ; Nuzul Al-Quran


Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini.
Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M.
Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

PERINGKAT PENURUNAN WAHYU AL-QURAN

1.      Al-Quran berada di Luh Mahfuz.
Firman Allah…

Maksudnya
            “Bahkan (yang didustakan oleh mereka) ialah Al-Quran yang muliatersimpan dalam Luh Mahfuz”.
(Al-Buruj : 21-22)

2.      Al-Quran diturunkan ke Baitul Izzah yang terletak di langit dunia.
Proses penurunan dilakukan sekaligus dan serentak pada malam Lailatul Qadar di bulan Ramadhan.
Firman Allah…

Maksudnya
            “Sesungguhnya Kami menurunkannya pada malam Lailatul Qadar”.
(Al-Qadar : 1)

3.      Al-quran diturunkan beransur-ansur dari Baitul Izzah kepada Rasulullah selama 23 tahun melalui perantaraan Malaikat Jibril.
Firman Allah…

Maksudnya
            “Ia dibawa turun oleh Ruhul amin (Jibril), ke dalam hati kamu (Muhammad) agar kamu salah seorang antara orang yang memberi peringatan, dengan bahasa Arab yang jelas”.
(Asy-Syu`ara’ : 193-195)


Isnin, 15 Ogos 2011

Perkara Yang Membatalkan Puasa



Yang membatalkan puasa itu ada sepuluh perkara :


1.      Memasukkan sesuatu ain (benda) ke dalam rongga badan yang terbuka jika sedikit sekalipun.

2.      Menyengajakan muntah, walaupun yakin tidak masuk kembali sesuatu daripada muntahnya ke dalam mulut sekalipun.

3.      Jimak (bersetubuh) dengan sengaja walaupun tidak terkeluar mani.

4.      Keluar mani dengan jalan bersuka-suka atau dengan sengaja.

5.      Kedatangan haid atau wiladah.

6.      Gila atau hilang akal walaupun seketika.

7.      Pitam sepanjang hari.

8.      Mabuk sepanjang hari.

9.      Berbuka dahulu dari masa yang yakin akan masuk (terbenam) matahari.

10.  Murtad iaitu terkeluar dari agama Islam dengan hati atau perkataan atau perbuatan.

*Jika termakan atau terminum dengan sebab terlupa atau dengan kerana jahil, maka tidak batal puasa. Begitu juga jika termuntah dengan tidak sengaja, tidak batal puasanya.



Ahad, 14 Ogos 2011

Erti Puasa, Rukun dan Fardhu Puasa


Erti Puasa

Bahasa           
  • Menahan diri.
Syarak
  • Menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa dengan jalan yang       tertentu.

Rukun Puasa

Ada tiga:

  1. Orang yang berpuasa.
  2. Niat.
  3. Menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa.

Fardhu Puasa

Ada empat perkara:

  1. Niat.
  2. Menahan diri daripada makan dan minum.
  3. Menahan diri daripada jimak.
  4. Menahan diri daripada menyengajakan muntah.