Wallpaper

Rabu, 13 Julai 2011

Raikan Kekurangan Pengikut


`IBRAH PEPERANGAN YARMOUK

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu `anhu, bahawasanya Rasulullah shollallahu `alaihi wasallam bersabda :

“ Apabila seseorang kamu menjadi imam solat berjamaah maka hendaklah ia meringkaskan solatnya, kerana ada dalam kalangan makmumnya itu orang yang lemah, orang sakit, orang tua, dan orang yang mempunyai hajat. Dan apabila seseorang kamu solat bersendirian maka terserah lah kepadanya untuk memanjangkan solatnya.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

            Bersandarkan kepada hadis di atas dapat kita ketahui bahawa Baginda Nabi mengingatkan kepada kita atau siapa-siapa saja yang mengetuai apa-apa pergerakkan, persatuan, pertubuhan dan yang lain-lain yang sama waktu dengannya agar mengambil berat akan kemampuan pengikut-pengikutnya yang berada di bawah kepimpinannya yang bergelar ketua. Sesungguhnya kemampuan seorang ketua untuk bertolak ansur dengan kekurangan orang lain adalah suatu perkara yang mesti diamalkan bagi mengekalkan keharmonian hidup berjemaah. Walaupun ketua itu mempunyai kekuatan tetapi hendaklah dia meraikan kemampuan orang lain agar wujud satu tindakan yang padu dan seragam.

            Jangan salah faham pulak, tidak bermaksud apabila seseorang yang kuat berkumpul dengan orang-orang yang lemah, maka dia akan menjadi lemah. Nabi menunjukkan cara memimpin yang betul dan saksama, yakni tujuannya adalah supaya yang kuat tadi membimbing dan membantu orang yang lemah  dengan penuh bijaksana dan kasih sayang.

            Sebagai tambahan, kita boleh merujuk kembali kepada sejarah peperangan Yarmouk; ketika peperangan tersebut Khalifah Umar Al Khattab radhiyallahu ` anhu terpaksa memecat Panglima Khalid Al Walid dan menggantikan dengan Abu Ubaidah Al Jarrah sebagai panglima perang yang baru. Perbuatan Khalifah Umar itu bukan kerana kelemahan yang ada dalam diri Khalid Al Walid  dalam menghadapi musuh tetapi kerana Khalid Al Walid sangat berani dalam menentang musuh sehingga tentera Islam yang lain tidak dapat mengikuti langkahnya. Lantas Khalifah pun mengambil tindakan yang sewajarnya (iaitu dengan menggantikan Khalid dengan Abu Ubaidah) kerana dilihatnya Abu Ubaidah (juga seorang yang berani) mampu meraikan kemampuan tentera Islam yang ada di belakangnya seterusnya meraih kejayaan.

            Hatta dalam solat Jemaah sekalipun seorang imam mesti meraikan keadaan makmumnya yang berbagai ragam dan  usia yang berbeza kekuatan dan kelemahan agar sama-sama si Imam dan sekalian makmum mendapat pahala ganjaran yang besar yang dijanjikan Allah bagi mereka yang solat secara berjemaah.

Akhirnya, jelas bahawasanya jamaah yang sedikit kelemahan itu lebih baik dari bersendirian dengan kekuatan yang luar biasa….


Tiada ulasan:

Catat Ulasan